Friday, 6 June 2014

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam

STRATEGI PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN

Transformasi kurikulum menegaskan penggunaan pelbagai strategi pembelajaran dan pengajaran yang memberikan penekanan kepada pembelajaran secara “hands-on learning”. Dalam konteks Pendidikan Islam, pembelajaran dan pengajaran memberikan penekanan kepada kesepaduan ilmu dan amali. Strategi pembelajaran dan pengajaran yang dirancang merangkumi pendekatan, kaedah dan teknik bagi mencapai standard pembelajaran.

Pendekatan dimaksudkan sebagai arah atau hala yang diambil untuk menuju sesuatu sasaran. Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan berasaskan teori-teori, model-model atau generalisasi yang tertentu untuk memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran atau kemahiran.

Antara pendekatan yang dicadangkan dalam Pendidikan Islam adalah seperti berikut:

1. Pendekatan Induktif dan Deduktif
2. Pendekatan Berpusatkan Guru
3. Pendekatan Berpusatkan Murid
4. Pembelajaran Konstruktivisme
5. Pembelajaran Kontekstual
6. Pembelajaran Masteri
7. Pembelajaran Akses Kendiri
8. Pembelajaran Pengaturan Kendiri
9. Kajian Masa Depan
10. Teori Kecerdasan Pelbagai


Kaedah pengajaran merupakan beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan tertentu dan sistematik bertujuan untuk mencapai objektif pembelajaran dalam jangka masa pendek. Kaedah pengajaran menterjemahkan pendekatan pengajaran yang dipilih oleh guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Antara kaedah pengajaran yang dicadangkan adalah seperti:

1. Talaqqi Musyafahah
2. Bercerita
3. Latih Tubi
4. Main Peranan
5. Perbincangan
6. Permainan
7. Penyelesaian Masalah
8. Tasmik
9. Kuiz
10. Lakonan
11. Soal Jawab
12. Projek
13. Sumbangsaran
14. Lawatan

Bagi memastikan sesuatu pembelajaran dan pengajaran berjaya dan mencapai objektif, guru perlu memahami standard pembelajaran yang hendak dicapai. Kemahiran guru mengaplikasikan pendekatan, kaedah dan teknik dalam proses pembelajaran dan pengajaran Pendidikan Islam akan membantu guru mencapai standard pembelajaran yang ditetapkan. Guru juga perlu merancang dan
melaksanakan pentaksiran bagi mengesan standard pembelajaran telah dicapai.

Falsafah Pendidikan Islam, Matlamat dan Objektif

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, 
kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba 
Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, 
alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan 
abadi di akhirat.



MATLAMAT

Matlamat Pendidikan Islam sekolah rendah adalah untuk melahirkan Muslim yang berilmu, beriman, berketrampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah supaya menjadi hamba dan khalifah Allah yang bertakwa serta menyumbang ke arah mempertingkatkan tamadun bangsa dan negara serta berjaya di dunia dan di akhirat.

OBJEKTIF

Murid yang mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Islam berkebolehan:

i. Membaca surah-surah terpilih daripada al-Quran dengan betul dan bertajwid serta mengamalkan pembacaannya dalam kehidupan seharian;
ii. Menghafaz surah-surah terpilih daripada al-Quran untuk bacaan dalam solat dan ibadat harian;
iii. Memahami maksud beberapa surah terpilih untuk diamalkan dan dihayati pengajarannya;
iv. Membaca dan memahami hadis-hadis terpilih untuk diamalkan dan dihayati pengajarannya;
v. Memahami dan meyakini asas-asas akidah sebagai pegangan dan benteng dalam kehidupan beragama;
vi. Memahami dan mengamalkan asas ibadat sebagai memenuhi tuntutan fardu ain dan fardu kifayah;
vii. Memahami dan mengambil iktibar daripada sirah Rasulullah s.a.w. bagi menanam rasa kecintaan kepada baginda;
viii. Memahami, mengamalkan dan menghayati nilai-nilai akhlak dalam kehidupan seharian; dan

ix. Membaca dan menulis jawi serta mencintainya sebagai warisan budaya bangsa.

Wednesday, 4 June 2014

Dokumen Standard Pendidikan Islam Tahun 4


Modul Standard Kandungan Pendidikan Islam Tahun 4

ORGANISASI KANDUNGAN

Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Islam dibangunkan dengan memberikan penekanan kepada standard kandungan dan standard pembelajaran yang perlu diketahui serta boleh dilakukan oleh murid. Standard Kandungan Pendidikan Islam sekolah rendah dibahagikan kepada tujuh modul iaitu:

Modul al-Quran
Modul ini memberikan penekanan kepada kemahiran membaca al-Quran dengan betul, fasih dan bertajwid serta menghafaz dan memahami surah-surah pilihan dengan menghayati dan mengamalkan pengajarannya dalam kehidupan.


Modul Hadis
Modul ini memberikan penekanan kepada kemahiran membaca hadis, memahami pengertian dan huraian hadis secara umum serta menghayati dan mengamalkan pengajarannya dalam kehidupan.


Modul Akidah
Modul ini memberikan penekanan kepada kemahiran memahami dan menghayati konsep akidah serta mengaplikasikannya dalam kehidupan.


Modul Ibadah
Modul ini memberi penekanan kepada kemahiran memahami, menghayati dan mengamalkan konsep ibadah dalam kehidupan.


Modul Sirah
Modul ini memberikan penekanan kepada pemahaman sirah Rasulullah s.a.w. dan mengambil iktibar serta meneladaninya dalam kehidupan.


Modul Adab
Modul ini memberikan penekanan kepada memahami, menghayati, mengamalkan tatacara dan hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia dan alam sekitar.


Modul Jawi
Modul ini memberikan penekanan kepada kemahiran membaca dan menulis jawi serta asas seni khat.


STATUS
Mata pelajaran Pendidikan Islam ialah mata pelajaran teras kepada murid Islam yang wajib diajarkan di institusi pendidikan yang mempunyai sekurang-kurangnya 5 orang murid Islam.

PRAKATA


ﺑﺴﻡ ﺍﻠﻟﻪ ﺍﻠﺮﺤﻤﻦ ﺍﻠﺮﺤﻴﻡ
ﺍﻠﺤﻤﺪﻟﻟﻪ ﺮﺐ ﺍﻠﻌﺎﻠﻤﻴﻦ ﻮﺍﻠﺼﻼﺓ ﻮﺍﻠﺴﻼﻡ ﻋﻟﻰ ﺍﺸﺮﻑ ﺍﻼﻧﺑﻴﺎء ﻮﺍﻟﻤﺮﺴﻠﻴﻦ
ﻮﻋﻟﻰ ﺍﻠﻴﻪ ﻮﺻﺤﺒﻪ ﺍﺠﻤﻌﻴﻦ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.
Bersyukur ke hadrat illahi dengan limpah dan kurnia-Nya, saya dapat menghasilkan sebuah blog berkenaan Bahan Pengajaran Pendidikan Islam SK Sungai Pelong, Selangor.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pensyarah pembimbing, Dr. Haji Kamarudin bin Haji Abu Hassan yang banyak memberi tunjuk ajar, ilmu pengetahuan, sokongan dan dorongan dalam menghasilkan blog ini dengan jayanya melalui pengajaran subjek Teknologi Pendidikan di IPG Perempuan Melayu Melaka. Tidak lupa juga kepada keluarga yang banyak memberi dorongan dan galakan.
Saya yakin bahawa dengan terhasilnya blog ilmiah ini, secara langsung dapat menambahkan ilmu pengetahuan saya serta pengalaman yang sangat berharga agar dapat menjadi bakal guru yang bertanggungjawab bagi melahirkan modal insan yang cemerlang bersesuaian dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu:

 “Pendidikan di Malaysia adalah satu usah berterusan kearah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek,rohani,emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,berketrampilan,berakhlak mulia,bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,masyarakat dan negara”.  

Akhir kata, jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang banyak membantu dan memberi kerjasama dalam menghasilkan blog ini. Segala jasa baik dan pengorbanan yang telah diberikan amat saya hargai.

Sekian, Terima Kasih